Info Rasa Dan Tips

Perkongsian resepi, petua, tips panduan, motivasi, kekeluargaan dan fesyen muslimah

2018/01/04

Kenapa Gigi Ngilu Bila Terkena Ais Atau Air Sejuk Dan Cara Merawatnya

Tips Sihat ini saya kongsikan kepada anda semua. Kenapa agaknya bila kita minum ais atau air sejuk gigi jadi ngilu. Tak selalu.. tapi ada masa dan ketikanya. Mengapakah jadi begitu? Apakah puncanya. Bagi mendapatkan gigi yang sihat dan kuat, penjagaan sewajarnya dilakukan sejak kecil selepas kanak-kanak tumbuh gigi susu. Namun begitu, masih belum terlambat bagi orang dewasa melakukan penjagaan gigi supaya masalah kerosakan dapat dikurangkan.

Sebelum melakukan penjagaan gigi, penting bagi kita memahami gigi sendiri. Gigi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu korona (bahagian yang mudah dilihat apabila anda membuka mulut) manakala leher dan akar gigi pula tertanam dalam gusi dan tulang rahang.

Kenapa Gigi Ngilu Bila Terkena Ais Atau Air Sejuk Dan Cara Merawatnya
Gambar hiasan

Struktur binaan gigi terdiri daripada enamel iaitu lapisan gigi yang paling keras dan terletak di lapisan luar sekali serta berwarna putih atau kekuningan.

Lapisan bawah enamel yang selalunya lebih lembut dan berwarna kekuningan dikenali sebagai dentin.

Pulpa pula adalah tisu yang terletak di paling tengah dan me­ngandungi urat saraf dan saluran darah yang membawa makanan untuk gigi, manakala simentum adalah lapisan tipis yang mengelilingi akar gigi.

Bagaimanapun, gigi kita tumbuh dengan sokongan gusi iaitu tisu lembut yang mengelilingi leher gigi, tulang alveolus iaitu tulang rahang yang menyokong akar gigi dan membran periodontium iaitu jaringan gentian yang menyokong simentum ke tulang alveolus.

Kenapa Gigi Ngilu Bila Terkena Ais Atau Air Sejuk


Gigi sensitif adalah rasa tidak selesa atau sakit seperti ngilu apabila terkena makanan atau minuman panas, sejuk, manis dan masam serta angin dingin.

Tak semua orang akan mengalami benda ni. Dan bukan selalu terjadi. Mesti ada sebab mengapa gigi akan terasa ngilu bila minum air sejuk atau makan ais krim. Macam iklan kat TV tu.. penyelesaian kat TV kata pakai ubat gigi yang betul. Tapi adakah ia cara yang tepat?

Jom baca tips sihat untuk gigi anda.

1) Gigi mudah bertindak balas dengan pencetus sensitiviti terbabit sehingga rasa sakit berikutan lapisan dentin pada gigi terdedah akibat lapisan enamel yang terhakis oleh beberapa punca. Lapisan dentin sebenarnya terdiri daripada ribuan liang halus dikenali sebagai tubul dan di dalam tubul itu mengandungi cecair, manakala di pangkal tubul pada lapisan pulpa terdapat sel odontoblast serta saraf.

Pakar pergigian Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr Nurul Huda Hasan berkata, kesakitan atau rasa ngilu itu disebabkan pergerakan cecair dalam tubul yang terdedah akibat hakisan enamel pada luar dentin.

“Cecair dalam tubul membawa rangsangan dari permukaan luar dentin yang terdedah balik kepada saraf pada pulpa. Pergerakan cecair sama ada ke depan atau ke belakang menyebabkan gentian saraf meregang atau memampat dan inilah yang mencetuskan kesakitan atau ngilu.

“Oleh itu, apabila makanan atau minuman yang juga pencetus sensitiviti tersentuh hujung tubul yang terdedah, ia akan menggerakkan cecair dalam tubul. Simentum juga menutup liang tubul tetapi lapisannya yang tipis juga mudah terhakis menyebabkan tubul boleh terdedah,” katanya.

Menurutnya, lapisan dentin terdedah disebabkan kehausan permukaan gigi yang berlaku secara aktif seperti tabiat memberus gigi terlalu kerap dan kasar, di samping penggunaan berus gigi tidak sesuai serta bukan disarankan oleh doktor pergigian.

2) Selain itu, kebiasaan separa fungsi yang dilakukan ketika tidur seperti mengetap gigi, kerap mengambil makanan dan minuman berasid seperti buah-buahan dan jus masam serta minuman berkarbonat juga boleh menghakis lapisan enamel dan mendedahkan lapisan dentin.

“Tabiat pemakanan yang mengurangkan tahap keasidan (pH) mulut mempunyai kesan hakisan yang membawa kepada kehila­ngan mineral sehingga tubul pada dentin terdedah dan menyebabkan gigi sensitif.

3) “Malah, memberus gigi selepas mengambil makanan dan minuman dengan kadar pH rendah juga boleh mengurangkan enamel dan simentum yang lembut.

4) “Gangguan pemakanan seperti bulimia yang memuntahkan semula makanan atau seseorang mengalami penyakit refluks gastroesofagus (GERD) juga mudah kehausan permukaan gigi disebabkan makanan terhadam yang dikeluarkan semula sudah bercampur dengan asid.

5) “Namun demikian, gigi sensitif juga boleh berlaku disebabkan kecederaan gusi akibat memberus gigi terlalu kuat, gigi berlubang, retak dan mengalami penyakit gusi (gingivitis),” katanya.

Sebelum melakukan rawatan untuk gigi sensitif, doktor akan memeriksa gigi pesakit bagi mengenal pasti punca masalah dan mencadangkan penyelesaian yang bersesuaian bergantung pada tahap kerosakan gigi.

Cara Rawatan


“Rawatan awal perlu dilakukan pesakit sendiri di rumah seperti mengubah tabiat buruk yang menyebabkan gigi sensitif seperti mengambil pemakanan sihat, teknik memberus gigi, menukar berus gigi yang selamat dan menukar ubat gigi yang mempunyai kandungan untuk merawat gigi sensitif.

“Kandungan mineral dalam ubat gigi sensitif akan membina lapisan perlindungan pada gigi yang terhakis dan membantu menutup liang tubul yang terdedah, sekali gus tidak berlaku pergerakan cecair yang menimbulkan rasa ngilu,” katanya.

Dr Nurul Huda berkata, sekiranya penggunaan ubat gigi sensitif gagal bantu melegakan kesakitan selepas dua hingga empat minggu, barulah rawatan di klinik dilakukan terhadap pesakit. Rawatan profesional dilakukan termasuk melapis kemasan berflorida pada gigi, tampalan resin komposit, sapuan gel permukaan gigi, pancaran laser dan rawatan akar gigi.

“Biasanya, saya menerima pesakit yang sudah menderita gigi sensitif selama empat hingga lima tahun. Mereka pada awalnya mengabaikan penjagaan gigi sensitif tetapi apabila kesakitan sudah tidak tertanggung, baru terfikir untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Oleh itu, mereka yang sudah mengalami tanda gigi sensitif ia­itu rasa ngilu ketika mengambil makanan atau minuman panas, sejuk, manis atau masam, perlu segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan sewajarnya kerana gigi kekal apabila sudah rosak teruk sehingga perlu dicabut tidak akan tumbuh lagi.

“Ibu bapa perlu mendidik anak mengenai penjagaan kesihatan pergigian dengan mengamalkan memberus gigi dengan teknik betul, membawa berjumpa doktor gigi dan amalan pemakanan sihat untuk gigi,” katanya.

Sementara itu, GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK) melancarkan kempen ubat gigi Sensodyne, Tiada Ngilu, Hidup Ceria bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan gigi sensitif menerusi rawatan sendiri di rumah sepanjang bulan ini.

Pengarah Pemasaran GSK, Katharine Chen berkata, ramai penghidap gigi sensitif tidak dapat menikmati makanan kegemaran disebabkan tidak mahu rasa ngilu dan kempen berkenaan membantu mereka menangani isu gigi sensitif yang membimbangkan, di samping menggalakkan mereka me­ngawal keadaan gigi menerusi penggunaan ubat gigi yang sesuai.

“Kempen ini membantu lebih ramai penghidap gigi sensitif menikmati makanan kegemaran mereka tanpa perlu risau rasa ngilu. Ini kerana, mengelakkan pengambilan makanan sedemikian tidak membantu mereka bebas daripada kesakitan.

“Sebaliknya, penggunaan harian secara berulang ubat gigi untuk gigi sensitif dapat mengekalkan perlindungan daripada pencetus sensitiviti.

“Malah, peningkatan bila­ngan penghidap gigi sensitif di Malaysia menjadikan kami giat mengembangkan kempen ini supaya dapat mendekati lebih ramai pengguna bagi membantu memupuk kesedaran penjagaan pergigian,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu, baru-baru ini.

Bacaan selanjutnya ; https://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.