Info Rasa Dan Tips

Perkongsian resepi, petua, tips panduan, motivasi, kekeluargaan dan fesyen muslimah

2017/11/28

Jangan Pernah Berhenti Membuat Kebaikan

Jangan Pernah Berhenti Membuat Kebaikan. Hidup dalam dunia ini hanyalah sementara saja. Dan dalam keadaan yang tak kekal selamanya, kita tentu mahukan kebaikan yang kita buat kembali kepada kita. Hanya Allah yang akan tentukan bilakah kebaikan-kebaikan tersebut akan dikembalikan.. di saat kita benar-benar memerlukan. Berbuat baik bukan sekadar menaikkan inspirasi diri dan motivasi kepada orang di sekeliling kita. Sebaliknya menabur kebaikan dalam pelbagai cara akan menimbulkan ketenangan dan kedamaian dalam hati. Bukankah kita semua mahukan sebuah kehidupan yang TENANG?

Insyaa Allah, 😘😘😘 dengan berbuat baik, hati akan jadi tenang dan tenteram. Oh ya.. apakah bentuk kebaikan yang boleh kita lakukan? Ada banyak sebenarnya. Antaranya.. mendoakan orang lain tentang perkara yang baik-baik saja, bersedekah, menderma, memudahkan dan memepercepatkan urusan di tempat kerja (tak perlu banyak sangat cekadak..), memberi pinjam barang kepunyaan kita dan banyak lagi. Kalau nak berbuat kebaikan kepada ibubapa, tolong bersihkan rumah mereka mungkin sebulan sekali, tebas rumput di belakang rumah dan sebagainya.

Jangan Pernah Berhenti Membuat Kebaikan

Dalam sekian banyak kebaikan yang terlintas di dalam kepala, saya percaya DOA adalah antara satu bentuk kebaikan yang penuh keramat. Mana tidaknya, satu doa kebaikan kita kepada orang lain, insyaa Allah doa tersebut akan kembali kepada kita semula. Subhanallah..

Jangan Pernah Berhenti Membuat Kebaikan


Setiap orang ada dugaan yang telah dilalui. Ada juga yang sedang menghadapi dugaan. Dugaan sepanjang hidup kita berbeza mengikut waktu dan kemampuan kita. Dugaan ada turun dan naiknya. Ada dugaan yang mengusik jiwa. Ada dugaan yang mencabar kesabaran emosi. Kenapa kita diduga? Kerana Allah mahu kita jadi baik dan lebih baik dari sebelumnya.

Satu ketika kita pernah bertanya, kenapa dugaan datang tanpa henti - adakah ini pembalasan kepada dosa yang lalu? Jangan bersalah sangka kepada Allah, sayang. Allah uji agar kita bertambah baik. Allah mahu kita jadi lebih baik dari sebelum ini. DIA uji supaya kita semakin kuat dan meningkat darjat kita di sisiNya.

Jangan pernah kita berhenti dari melakukan kebaikan, kerana di saat kita kritikal, disaat itu Allah kembalikan kebaikan itu mengikut kesusahan kita.

Percayalah..
Walaupun buruk di mata manusia lain, tetapi Allah tahu itu adalah yang terbaik untuk kita mengikut keupayaan dan keperluan kita.

Ada seorang penjaga unta bernama Uwais al-Qarni. Dia hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w., tetapi Uwwais al-Qarni tidak berkesempatan bertemu muka dengan Rasulullah s.a.w . Namun begitu, kecintaan dan rasa kasih sayang Uwais kepada Rasulullah sangat tinggi.

Semasa perang Uhud, sebatang gigi Rasulullah s.a.w. telah patah. Uwais menerima kabar itu. Lalu demi cintakan Rasulullah s.a.w. Uwais mencabut sebatang giginya untuk merasa sendiri betapa sakitnya Rasulullah mengalami patah gigi.

Uwais al-Qarni sangat ingin bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi dia terpaksa menjaga ibunya yang sudah tua. Uwais sangat memuliakan ibunya. (Lihatlah.. inilah contoh perbuatan baik). Semasa dia ke Madinah suatu hari, Rasulullah tidak ada di rumah. Uwais hanya berpesan kepada Ummul Mukminin bahawa dia akan datang lagi untuk bertemu Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w pernah menceritakan kepada para sahabat bahawa Uwais al-Qarni adalah seorang hamba Allah yang tidak terkenal oleh penduduk di bumi tetapi sangat terkenal oleh penduduk di langit (para malaikat). Do'anya sangat mustajab. Sahabat-sahabat sangat berhajat untuk berjumpa dengannya untuk memohon do'anya yang sangat mustajab.

Apabila Rasul pulang, pertanyaan yang mula-mula diajukan kepada isteri baginda adalah sesiapa yang datang hendak menemuinya. Lalu diberitahu tentang kedatangan Uwais.

"Apakah engkau melihatnya?" Rasul bertanya.

"Saya hanya melihat belakangnya saja."

"Engkau akan masuk Syurga kerana memandangnya begitu." Kata Rasulullah s.a.w lagi.

Rasulullah hadiahkan baju :

Semasa terbaring sakit menjelang saat kewafatan, Rasulullah s.a.w. mewasiatkan baju yang sedang dipakainya diberikan kepada Uwais. Amanah itu dipikul oleh Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali.

Setelah menempuh perjalanan yang jauh, akhirnya mereka sampai ke wilayah Qarni (Yaman), tempat tinggal Uwais. Bertanya orang-orang kampung di situ tentang Uwais, mereka berasa terkejut kerana dua orang sahabat besar Nabi s.a.w itu ingin bertemu seorang penggembala unta yang langsung tidak terkenal di situ.

Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali memperkenalkan diri masing-masing. Selepas seketika berbual-bual dengan Uwais, Sayyidina Umar berasa sangat tertarik dengan pemuda yang sangat sederhana lagi warak itu. Diminta agar Uwais sudi mendo'akan untuknya.

"Setiap kali selepas sembahyang aku tetap mendo'akan keampunan dan kesejahteraan untuk semua kaum Muslimin. Sekiranya engkau takwa kepada Allah dan mentaati segala ajaran Rasul-Nya, maka engkau akan terima berkat do'aku di akhirat kelak."

Selepas itu pulanglah dua orang sahabat Rasulullah s.a.w itu dengan rasa puas. Mereka bertemu dengan orang yang disebutkan oleh Rasulullah. Uwais tidak terkenal langsung di kalangan orang-orang di tempatnya. Tetapi keimanan dan takwanya yang luar biasa menjadikan dia seorang yang sangat istimewa.

Jangan pernah rasa penat untuk berbuat kebaikan. Jangan pernah berhenti berbuat baik. Berbaktilah dengan ikhlas. Perbuatan kita itu mungkin dibalas dengan segera, atau pada saat kita tak sangka-sangka. Berbuat baik dengan permudahkan urusan orang lain maka di waktu dan kesempatan lain, Allah akan permudahkan pula urusan kita.

No comments:

Post a Comment

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.