Disleksia Adalah Sejenis Masalah Pembelajaran Mengalami Kesukaran Memahami, Mengeja Dan Mengira

Disleksia Adalah Sejenis Masalah Pembelajaran Mengalami Kesukaran Memahami, Mengeja Dan Mengira. Ia boleh dihadapi oleh semua anak kita tanpa kita sedar kerana penyakit ini boleh dikesan jika anak kita sudah memasuki alam persekolahan secara rasmi. Dari situ kita baru sedar dengan bantuan guru dan pemantauan tentang pembelajarannya. Jika guru tidak menyedari Disleksia ini terhadap anak muridnya, perkembangan awal pembelajaran dan tumbesaran anak-anak mungkin jadi bermasalah.

Apa itu disleksia?


Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku. Kanak-kanak disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh. Mereka mempunyai keupayaan intelek yang normal dan telah mendapat rangsangan dan pembelajaran yang mencukupi. Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi. Mereka mungkin mengalami kesukaran membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira.

Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku

Dianggarkan 4 hingga 8 peratus pelajar sekolah yang bermasalah disleksia. Kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah disleksia berbanding perempuan.

Antara orang ternama yang juga mengalami disleksia termasuklah ahli politik (Lee Kuan Yew), pelakon (Whoopi Goldberg), artis (Leonardo da Vinci) dan saintis (Albert Einstein). Ramai yang berdaya imaginasi tinggi, amat kreatif dan mampu berfikir dari pelbagai sudut atau dimensi. Mereka juga bijak dengan kemahiran tangan atau sukan.


Apakah ciri-ciri Disleksia? 


Di peringkat pra sekolah mereka mungkin:
  • Lambat bertutur 
  • Mengalami kesukaran sebutan atau rima 
  • Sukar menulis nama sendiri 
  • Payah mengenal bentuk atau warna 
  • Sukar memberitahu cerita yang telah didengarinya 

Di alam persekolahan, kanak-kanak Disleksia mungkin: 

  • Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira 
  • Tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas 
  • Kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (Bacaan terbalik): 
          - 15 dengan 51
          - “was” menjadi “saw”
          - ‘b’ dengan ‘d’‘
  • Kurang koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut 
  • Keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam’, ‘ hari ini’ , ‘esok’ 
  • Kesukaran memahami, mengingati dan mengikuti arahan 
  • Selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah 

Cara Membantu anak-anak bermasalah Disleksia


Langkah-langkah untuk membantu mereka termasuklah: 

  • Bantu kanak-kanak dan keluarga mengendali permasalahan ini dan bina keyakinan diri anak 
  • Rawat penyakit lain yang mungkin berkait seperti Gejala Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan 
  • Pertingkatkan potensi pembelajaran anak melalui : 
  • Terapi pertuturan 
  • Latihan pendengaran dengan bantuan komputer 
  • Pendekatan pelbagai deria (Menggunakan deria lain untuk membantu pembelajaran) 
  • Deria sentuhan (menggunakan lakaran atas kertas pasir) 
  • Deria pendengaran (menggunakan ritma atau bunyi perkataan/ huruf) 
  • Merasa pergerakan bibir 
  • Menulis huruf atau perkataan 
  • Langkah-langkah pemulihan : 
  • Bantu anak menguasai maklumat secara beransur ansur 
  • Pengulangan semasa mengajar (konsep ajar berlebihan) 
  • Gunakan video atau kaset untuk belajar 

Program pemulihan khusus : 

  • Ada sekolah yang mempunyai program pemulihan khusus untuk Disleksia 


Kisah Keluarga Yang Ada Anak Disleksia


“Jika ditanya, saya yakin pasti tiada ibu yang mahu memiliki anak yang tak sempurna. Tapi saya diuji dengan memiliki anak disleksia. Segalanya bermula apabila dia mula menduduki kelas darjah satu. Guru-guru yang mengajar anak saya sering memberi maklum balas, anak saya susah menerima pembelajaran, sukar menangkap apa yang diajar oleh cikgu dan sering tulis terbalik.

Memang saya tak dapat terima hakikat pada mulanya kerana dia membesar seperti kanak-kanak lain. Saya langsung tidak melihat terdapat sesuatu yang ganjil dalam diri anak saya. Pernah saya bergaduh dengan gurunya dan menegaskan anak perempuan saya sempurna. Saya kata, apa perasaan seorang ibu bila diberitahu bahawa anaknya cacat? Tentu luluh hati seorang ibu dan saya tetap berdegil mahu dia meneruskan persekolahan di situ.

Apabila saya sudah bangkit daripada kesedaran bahawa tempat anak saya bukan di situ, maka saya menukarkannya ke sekolah khusus buat kanak-kanak sepertinya. Setelah bertukar sekolah barulah saya melihat perubahan yang ketara. Pembelajaran secara 'seorang guru untuk seorang murid' benar-benar berkesan buat anak-anak syurga ini.

Kesimpulan


Disleksia bukan penghujung sebuah perjalanan dan masih terbentang luas sebuah kehidupan yang panjang. Insan di sekelilingnya terutama ibu bapa perlu berdiri di atas paksi yang sama demi menyokong perkembangan mereka. Walaupun penampilan mereka kelihatan normal tetapi terdapat kesukaran dalam perkembangan komunikasi, interaksi dan imaginasi sosial.

No comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.