Info Rasa Dan Tips

Perkongsian resepi, petua, tips panduan, motivasi, kekeluargaan dan fesyen muslimah

14 June, 2017

Cara Bayar Fidyah Tinggal Puasa Kerana Uzur Atau Sengaja

Cara Bayar Fidyah Tinggal Puasa Kerana Uzur Atau Sengaja. Bagus juga kita tambah ilmu tentang bayar fidyah puasa. Bayar fidyah adalah wajib sebagaimana membayar balik puasa yang ditinggalkan. Artikel ini adalah perkongsian daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP). Takut terlupa pula tentang rujukan ini, so saya share kan di blog milik saya ini. Kalau terlupa boleh rujuk semula, ya dak?

Ada yang kata kita boleh sengaja tinggalkan puasa dengan sengaja sebab tak nak puasa. Tapi tahu tak anda, dah lah berdosa lepas tu lambat laun kena bayar balik dengan fidyahnya sekali. Bukankah itu kerja orang kurang cerdik, cari masalah dan tambah beban. Melainkan anda tak puasa disebabkan faktor-faktor yang dituliskan di bawah nanti. Jika dah tua dan tak berdaya, bagaimana? Fikirlah sendiri ya...

Cara Bayar Fidyah Tinggal Puasa Kerana Uzur Atau Sengaja

Sebut tentang fidyah, ada yang tak tahu apa itu fidyah? Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.

HUKUM FIDYAH


Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud :

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).”~ (al-Baqarah: 184)

Cara Bayar Fidyah Tinggal Puasa Kerana Uzur Atau Sengaja


KADAR FIDYAH


Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk).  Nilai fidyah bagi satu hari tidak berpuasa boleh dikira berdasarkan nilai Zakat Fitrah yang telah ditetapkan.

Zakat Fitrah bagi seorang ialah bersamaan 1 gantang Baghdad iaitu 2.7 kilogram.

Fidyah bagi satu hari ialah 1 cupak beras iaitu 675 gram.

Bermakna, kadar fidyah ialah ¼ daripada kadar fitrah pada tahun tersebut.

Oleh yang demikian, jika kadar Zakat Fitrah ialah RM7.00, secara langsung kadar Fidyah ialah RM1.75 atau RM1.80 (1/4 X RM7.00).


TAKSIRAN FIDYAH

1. Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah (cupak)

2. Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

*Tahun gandaan bermaksud bilangan tahun puasa itu telah ditinggalkan tolak satu tahun kerana tahun pertama adalah tahun dibenarkan mengganti puasa. Hanya setelah tiba Ramadan berikut jika masih tidak berganti, barulah fidyah dikenaka

Contoh :

Tidak berpuasa kerana haid pada Ramadan 1436H (2014) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1438H (2016).

Maka tahun gandaan ialah 1438H – 1436H – 1 = 1 TAHUN, ini adalah kerana dari Syawal 1436H hingga Syaaban 1437H hinggalah tempoh satu tahun yang diperintahkan untuk mengganti puasa.


SIAPAKAH YANG DIKENAKAN FIDYAH?

Uzur menunaikan puasa wajib

Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Fidyah dikenakan pada tahun Ramadan yang sama.

Contoh:

Haji Karim pengidap Diabetes yang menjalani dialysis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. Maka, fidyahnya dikira sebaik habis Ramadan tersebut pada kadar :

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
30 hari X RM1.80 = RM54.00

Wanita hamil yang tidak berpuasa kerana bimbang keselamatan bayi dalam kandungan.

Tidak berpuasa kerana bimbang  akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Jika telah tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah lagi kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh:

Sepanjang kehamilan anaknya, Puan Rina tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan pada tahun itu selama 7 hari. Beliau bimbang keadaan bayi yang dikandungnya. Maka sebaik sahaja Ramadan, Puan Rina dikenakan fidyah pada kadar :

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

7 hari X RM1.80 = RM12.60

Jika Puan Rina DAPAT MENGGANTIKAN PUASA TERSEBUT SEBELUM RAMADAN BERIKUTNYA, maka TIADA FIDYAH dikenakan ke atas Puan Rina.

Tetapi, jika Puan Rina TIDAK MAMPU MENGGANTIKAN PUASA HINGGA TIBA RAMADAN BERIKUTNYA, maka dia DIKENAKAN FIDYAH sehinggalah dia menggantikan puasa tersebut. Katakanlah, Puan Rina hanya dapat menggantikan pusa tersebut 4 tahun kemudian, maka fidyahnya dikira :

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

7 hari X (4 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM37.80 (FIDYAH)

***Fidyah hanya akan berhenti dikira apabila puasa itu digantikan.

Wanita hamil yang tidak berpuasa kerana bimbang keselamatan (kesihatan) dirinya.

Hendaklah menggantikan puasa. Jika masih tidak diganti sehingga tiba Ramadan berikutnya barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh:

Puan Maria tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, Cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Maria dapat menggantikan puasa tersebut.

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

10 hari X (3 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM36.00 (FIDYAH)

Ibu yang menyusukan Anak

Tidak berpuasa kerana merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Jika telah tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah  kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh:

Puan Hani mempunyai bayi yang baru berusia 3 bulan dan menyusu penuh. Sepanjang bulan Ramadan, beliau tidak mampu berpuasa selama 15 hari kerana kekurangan susu. Beliau hanya mampu menggantikan puasa ini selepas 2 tahun. Fidyah yang dikenakan ke atas Puan Hani sebaik sahaja habis Ramadan pada tahun itu ialah :

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

15 hari X RM1.80 = RM27.00

Fidyah yang dikenakan kepada Puan Hani kerana lewat menggantikan puasa ialah :

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

Orang yang telah meninggal dunia

Fidyah meninggalkan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan oleh waris -warisnya jika bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.

Contoh:

Puan Rahmah ialah seorang warga emas yang telah terlantar sakit bertahun-tahun dan tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Pada 13 Ramadan beliau telah meninggal dunia. Maka, fidyah beliau dikira:

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

13 hari X RM1.80 = RM23.40

Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Contoh:

En Jamal telah tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana corak pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun.
Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah :

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

3 hari X (10 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM48.60 (FIDYAH)

**Sumber PPZ MAIWP 

Berbalik tentang puasa, semua orang islam pun tahu. Ia adalah rukun islam yang ketiga. Renungkan ayat al Quran surah al Baqarah ayat 183, memang amat popular ayat ini,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)

Ayat ini mengandung banyak pelajaran berharga berkaitan dengan ibadah puasa. Mari kita kupas hikmah yang mendalam dibalik ayat yang mulia ini.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

“Wahai orang-orang yang beriman”

Dari lafadz ini diketahui bahwa ayat ini madaniyyah atau diturunkan di Madinah (setelah hijrah, pen), sedangkan yang diawali dengan yaa ayyuhan naas, atau yaa bani adam, adalah ayat makkiyyah atau diturunkan di Makkah[1].

Imam Ath Thabari menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah : “Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, membenarkan keduanya dan mengikrarkan keimanan kepada keduanya”[2]. Ibnu Katsir menafsirkan ayat ini: “Firman Allah Ta’ala ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman dari umat manusia dan ini merupakan perintah untuk melaksanakan ibadah puasa”[3].

Dari ayat ini kita melihat dengan jelas adanya kaitan antara puasa dengan keimanan seseorang. Allah Ta’ala memerintahkan puasa kepada orang-orang yang memiliki iman, dengan demikian Allah Ta’ala pun hanya menerima puasa dari jiwa-jiwa yang terdapat iman di dalamnya. Dan puasa juga merupakan tanda kesempurnaan keimanan seseorang. Wallahua'lam..

Semoga bermanfaat. 

No comments:

Post a Comment

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.